kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

MENGHADAPI CABARAN SEMASA USAHAWAN BELIA HADAPI PANDEMIK COVID-19

211118   menghadapi cabaran

Penularan COVID-19 membuatkan masyarakat bukan sahaja berhadapan dengan krisis kesihatan bahkan pelbagai aspek lain termasuk dalam aspek ekonomi dan sosial. Keadaan ini tidak terkecuali kepada mereka yang bergelar usahawan dan statistik menunjukkan pada tahun 2020 usahawan dalam kategori umur 15 hingga 40 tahun adalah seramai 68,631 orang. Pada tahun 2020, 97.2% pertubuhan perniagaan di Malaysia adalah daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan secara puratanya meningkat sebanyak 4.9% setiap tahun sejak 2015.

Pada tahun 2020, PKS turut menyumbang sebanyak 38.2% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berbanding 38.9% pada tahun 2019. Usahawan PKS khususnya merupakan kumpulan yang terkesan kerana mereka perlu berdepan dengan cabaran semasa untuk meneruskan perniagaan mereka lebih-lebih lagi kepada kumpulan belia yang baharu memulakan perniagaan.

Tinjauan kesan pandemik COVID-19 kepada usahawan belia secara atas talian telah dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mendapati 94.7% daripada 378 responden usahawan belia berumur 18 sehingga 40 tahun mengatakan terkesan dengan situasi semasa pandemik COVID-19.

Kesan langsung penularan COVID-19 ke atas perniagaan responden yang paling ketara adalah pengurangan hasil pendapatan berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Penurunan purata jualan tahunan pada tahun 2020 dianggar mencecah 45.1% berbanding purata jualan tahunan pada 2019 berikutan kekurangan dan ketiadaan pelanggan serta kerterbatasan aktiviti perniagaan.

Keadaan ini juga secara tidak langsung boleh menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan belia Malaysia kerana segelintir daripada usahawan belia juga terpaksa menutup perniagaan dan kehilangan pekerjaan. Sebahagian responden (51.6 %) juga terpaksa memilih untuk beralih ke sektor dan aktiviti perniagaan baharu terutamanya dalam sektor perkhidmatan berasaskan makanan & minuman dan pertanian dalam anggaran tempoh peralihan 3 hingga 6 bulan.

Survei ini juga mendapati beberapa strategi yang digunakan oleh responden untuk mendepani cabaran semasa dan pasca pandemik antaranya melalui peningkatan strategi pemasaran dan pengiklanan (35.3%), transformasi dan adaptasi digital (32.2%), mendapatkan dana dan bantuan (9.3%), peralihan ke bidang perniagaan baharu (9.1%), penjimatan kos (3.6%), kepelbagaian produk (3.3%) dan lain-lain.

Kerajaan juga komited untuk membantu usahawan-usahawan yang terjejas demi menjamin kelangsungan perniagaan mereka. Inisiatif kerajaan seperti Pembiayaan PKS PENJANA akan memanfaatkan usahawan dengan nilai pinjaman sebanyak RM1.32 bilion dalam memperkasakan perniagaan PKS di samping pembiayaan lain seperti Pelancongan PENJANA, Kredit Mikro PENJANA dan Bantuan Bumiputera (BRF). Geran Khas PRIHATIN turut memanfaatkan PKS selain daripada RM700 juta Subsidi Upah 3.0 yang disasarkan kepada 400,000 pekerja dan 37,000 majikan.

Tambahan itu, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA PLUS) dan terbaru Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) juga turut menunjukkan sokongan yang berterusan dan pelbagai inisiatif kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara.

KBS juga melaksanakan pelbagai inisiatif kerjasama rentas kementerian antaranya dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam memberi bimbingan keusahawanan dan sokongan kepada golongan belia seperti Program Pencetus Usahawan iaitu program dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN). Pelaksanaan latihan dan bimbingan seumpama ini adalah antara inisiatif yang lebih bermakna dan menjurus kepada pembelajaran sepanjang hayat sekiranya usahawan itu sendiri memanfaatkan dan mengaplikasi ilmu yang mereka perolehi.

Selain itu, program kerjasama yang dilaksanakan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah melalui Program myPRENEUR. Program ini bertujuan untuk menyediakan laluan pembangunan keusahawanan, meneroka peluang untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi serta jalinan rangkaian dengan usahawan Bumiputera dan agensi terpilih. Usahawan belia yang berminat boleh melayari www.ebelia.gov.my untuk mendapatkan informasi berhubung inisiatif kepada para belia.

Platform perniagaan untuk belia menceburkan diri dalam sektor keusahawanan juga disyor untuk diperluaskan dan diperkasakan kepada kumpulan sasar kerana mereka sangat berminat, berani mengambil risiko dan mempunyai daya tahan yang tinggi dan untuk terus menceburkan diri dalam sektor keusahawanan walaupun pandemik COVID-19 membuatkan mereka terpaksa beralih kepada sektor perniagaan baharu.

Selain itu, platform penjualan produk-produk usahawan belia juga boleh disediakan dan ditawarkan kepada usahawan untuk meluaskan pasaran mereka dengan lebih cepat dan juga efektif. Penyediaan platform yang lebih dekat kepada pengguna dan masyarakat seperti Shopee, LAZADA sangat membantu usahawan untuk memasarkan produk mereka bukan sahaja pasaran di dalam negeri bahkan di luar negara. Bukan itu sahaja, saluran khusus juga diperlukan oleh usahawan untuk mereka meluaskan pasaran produk mereka ke peringkat tempatan dan luar negara. Diharap melalui inisiatif yang dilaksanakan, usahawan belia khususnya boleh bangkit semula dan bertahan untuk kelangsungan perniagaan mereka.

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA (IYRES)

18 NOVEMBER 2021

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Unit Komunikasi Korporat, IYRES       

Tel.: 03 - 8871 3337

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.