kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Bentang Hala Tuju Baharu Tarik Belia, Graduan Jadi Usahawan Tani

 

 

graduan jadi usahawan tani

Isu sekuriti makanan terkait dengan output pengeluaran dan kualiti penuaian dihasilkan sektor pertanian negara. Jika jumlah permintaan melebihi penawaran domestik, kerajaan tidak dapat mengelak daripada mengimport bekalan dari negara luar.

Semua orang sedar mengimport bekalan dari luar negara bukan strategi menguntungkan negara. Pada masa sukar, mungkin mengimport sesuai, tetapi jangka masa panjang, kebergantungan kepada hasil negara luar memberi padah kepada prospek ekonomi negara, malah tidak menyelesaikan isu sekuriti makanan negara.

Analogi mudah mengenai sekuriti makanan adalah kita menganggap beras itu penting, maka sepatutnya usaha menanam padi itu jauh lebih penting.

Walaupun kita mempunyai stok beras yang banyak di gudang, pasar raya atau kedai, namun jika usaha di bendang ditinggalkan, maka stok dimiliki pasti habis.

Sebelum stok beras kehabisan, pelbagai masalah timbul seperti harga sukar dikawal berlaku pembelian panik, manakala aktiviti penyeludupan berleluasa.

Kerajaan menyedari hakikat ini sejak sekian lama, justeru pelbagai dasar dibangunkan bagi merangka pelan tindakan sewajarnya. Negara mempunyai Dasar Agromakanan Negara (DAN), satu dasar sekuriti makanan negara sangat baik.

Pernyataan Teras 2 dalam DAN 2.0 secara jelas menyatakan kepentingan memperkukuh pasaran domestik, meningkatkan hasil keluaran yang mempunyai permintaan tinggi dan produk berorientasikan eksport.

Namun, apa yang perlu diberi perhatian adalah Teras 3 digariskan dalam DAN 2.0, iaitu membangun bakat yang memenuhi permintaan industri.

Isu dan cabaran besar berkaitan Teras 3 ialah wujud jurang sumber modal insan sektor pertanian berbanding kehendak industri. Ini dikatakan berpunca daripada daya tarikan rendah dalam sektor pertanian.

Statistik pada 2016 menunjukkan hanya 4.2 peratus pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mempertimbangkan kerjaya dalam sektor pertanian. Pada waktu ini, sudah pasti peratusnya juga amat rendah.

Isu belenggu negara

Isu penyertaan golongan muda lepasan IPT dalam sektor pertanian khususnya sebagai usahawan tani dilihat amat membelenggu negara. Lebih menghairankan, pelajar jurusan pertanian turut tidak berkeyakinan untuk menceburi sektor pertanian.

Kajian mendapati walaupun mereka mempunyai sikap positif terhadap kerjaya dalam sektor pertanian, namun ia tidak membawa keyakinan tinggi dalam kalangan mereka untuk berkecimpung sebagai usahawan tani.

Apa yang berlaku, tawaran program pengajian pertanian di IPT masih mendapat sambutan dalam kalangan belia negara, mereka sendiri enggan menceburi bidang itu.

Pembabitan rendah mereka dalam sektor pertanian terus membelenggu negara. Adakah kurikulum pengajian mereka ikuti tidak memadai untuk meningkatkan keyakinan mereka terhadap kerjaya dalam sektor pertanian?

Realitinya, kita semua dapat melihat perkara ini berlaku. Inilah sebabnya baru-baru ini kerajaan memberi kelonggaran membawa banyak masuk pekerja asing untuk ditempatkan dalam sektor ini kerana terdapat permintaan signifikan.

Namun, sekali lagi penempatan warga asing dalam sektor ini tidak boleh dilihat sebagai strategi jangka masa panjang kerana ia tidak menguntungkan jika dilihat dari perspektif pengaliran wang tunai ke luar negara.

Oleh sebab itu pengambilan warga asing untuk memenuhi permintaan industri pertanian langsung tidak diperincikan dalam mana-mana strategi dalam buku DAN 2.0.

Teras 3 DAN 2.0 memperincikan empat strategi utama iaitu:

* Menjenama semula sektor agromakanan dengan pertanian moden dan pintar untuk menggalakkan bakat muda dalam sektor agromakanan.

* Mewujudkan sumber tenaga kerja industri yang optimum melalui perintegrasian siswazah ke dalam persekitaran pekerjaan sebenar menerusi tambahan latihan amali dan perantisan.

* Meningkatkan pendedahan generasi muda kepada aktiviti pertanian melalui pendidikan bersasar dan kaedah lain seperti pertandingan inovasi.

* Membangunkan model pengurusan untuk menambah baik produktiviti buruh.

Belia kena ubah persepsi

Dalam tempoh DAN 2011 - 2020, jumlah guna tenaga sektor agromakanan menyumbang sebanyak 3.21 peratus kepada jumlah guna tenaga di Malaysia dan 29.5 peratus kepada jumlah guna tenaga pertanian, menyusut pada kadar purata 1.0 peratus setahun.

Penyusutan ini sebahagian besarnya disumbangkan penyertaan berkurang dalam kalangan pesawah, penternak akuakultur dan nelayan, kecuali subsektor ternakan mencatatkan pertumbuhan positif.

Statistik menunjukkan 44 peratus penduduk Malaysia terdiri daripada golongan belia, namun hanya 15 peratus sahaja terbabit sektor pertanian.

Justeru, dalam keadaan negara masih bergantung kepada import makanan, golongan belia negara harus mempunyai kesedaran tinggi dan bersedia untuk memikul tanggungjawab ini bersama.

Mereka perlu mengubah persepsi dengan tidak lagi menganggap pertanian sebagai sektor buruh menjana pulangan rendah. Pada masa sama, kerajaan perlu bersedia memperluaskan skim bantuan sesuai mengikut keperluan.

Pegawai pengembangan pertanian di setiap daerah perlu memiliki pangkalan data tanah terbiar yang langsung tidak diusahakan. Mereka perlu turun padang, bertemu dengan pemilik tanah. Menghimpunkan mereka serta menggalakkan mereka mengusahakan tanah terbiar.

Kerajaan menerusi agensi berkaitan juga harus memiliki data graduan dalam bidang pertanian masih menganggur. Golongan ini perlu didekati dengan cara berkesan.

Mereka perlu dibentangkan dan diyakinkan dengan 'road map' kerjaya sebagai usahawan tani, termasuk inisiatif disediakan kerajaan. Kerenah birokrasi dalam peraturan juga seharusnya dinilai semula supaya ia tidak dilihat sebagai menghalang penyertaan usahawan tani baharu.

Pegawai Penyelidik Sosial, Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Sumber : Berita Harian. Pautan : Berita Harian

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.