kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Jangan Biar Keciciran Pelajar Miskin Lanjut Pengajian Di IPT Membarah

 

 

JANGAN BIAR KECICIRAN PELAJAR MISKIN LANJUT PENGAJIAN DI IPT MEMBARAH

 

Isu keciciran pelajar miskin dalam pengajian tinggi semakin ketara, khususnya selepas pandemik COVID-19, mencetuskan kebimbangan akan melebarkan lagi jurang sosial, ekonomi dan kekayaan sedia ada.

Apakah punca dan di mana silapnya sedangkan pelbagai bantuan dan insentif telah disalurkan oleh kerajaan, termasuk beberapa peruntukan khusus buat golongan B40 pasca-COVID-19, agar mereka dapat bangkit. Artikel ini adalah yang pertama daripada laporan khas dua bahagian bagi mengupas isu itu dan impaknya kepada masyarakat dan negara.

 

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Walaupun menerima tawaran biasiswa, seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada keluarga B40 terpaksa menguburkan impian untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pilihan, lantaran bimbang tidak mampu membiayai kos lain di universiti.

Keputusan sama turut diambil oleh seorang lagi pelajar cemerlang SPM di Pulau Pinang yang nekad untuk tidak menyambung pendidikan kerana mahu bekerja bagi membantu menyara keluarga yang miskin.

Dua kisah benar yang mungkin sukar untuk dihadam oleh masyarakat, namun menurut Dr Syed Mohamad Syed Abdullah, pensyarah kanan (bimbingan dan kaunseling), Universiti Sains Malaysia, itu adalah hakikat yang kini dihadapi oleh negara.

Berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang pendidikan, beliau berkata dua kes itu mewakili satu permasalahan yang lebih besar dan harus ditangani segera bagi mengelakkan isu kemiskinan terus diwarisi oleh generasi seterusnya.

"Malah, negara juga berdepan kerugian modal insan yang kompeten dalam pelbagai bidang (sekiranya tidak diatasi)," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

JURANG MELEBAR

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan statistik yang agak memeranjatkan apabila kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak mahu menyambung pendidikan ke peringkat seterusnya.

Kajian pada 2019 itu membabitkan 560,000 calon SPM yang menduduki peperiksaan tersebut, namun selepas keputusan diumumkan hanya sekitar 170,000 orang memilih untuk meneruskan pendidikan sementara bakinya mahu memasuki pasaran buruh.

Mengulas lebih lanjut, Syed Mohamad berkata tidak mustahil masalah keciciran pelajar dalam sistem pendidikan tinggi yang disebabkan oleh faktor kewangan, akan terus meningkat dan menjadi lebih serius selepas ini berikutan suasana ekonomi semasa negara dan global yang kini mendepani inflasi.

Ulas beliau, perbandingan data oleh DOSM mendapati bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang merangkumi lebih satu pertiga daripada penduduk bekerja dengan pendidikan tertiari, berlaku penurunan 0.1 mata peratus kepada 37.4 peratus pada suku keempat 2022 berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Jurang antara rakyat berpendidikan dengan mereka yang keciciran pendidikan, sekiranya melebar, pasti akan menyukarkan kerajaan mencapai matlamat semua lapisan masyarakat mendapat peluang sama rata dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat, katanya.

"Contohnya, kita mahu anak-anak golongan miskin berlumba-lumba memiliki kehidupan lebih baik, keluar daripada kemiskinan. Tetapi, sistem (yang ada) tidak bersifat equal-footing (sama rata), dan kita tahu kebanyakan anak keluarga B40 tidak mampu pergi kelas tambahan berbayar, begitu juga (untuk mendapatkan) akses pendidikan terkini.

“Akses pendidikan yang terhad itu membuatkan mereka rasa terasing daripada pelajar lain apabila sukar memahami kandungan kurikulum yang tahapnya terlalu tinggi. Hal ini juga menyukarkan mereka untuk bersaing secara sihat dengan pelajar lain,” jelasnya yang turut berpandangan jurang ketidakseimbangan peluang pendidikan akan semakin melebar jika permasalahan itu tidak ditangani segera.

Menurutnya, keadaan itu berpotensi memberi impak kepada pembangunan diri pelajar terbabit, khususnya dari segi keyakinan diri terhadap keupayaan mereka untuk maju ke depan.

KEMISKINAN DIWARISI

Syed Mohamad berkata yang paling dibimbangi beliau ialah apabila keluarga B40 terbabit tidak dapat mengubah taraf hidup mereka menerusi pendidikan, sekali gus menyukarkan generasi seterusnya dalam keluarga berkenaan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Disebabkan kemiskinan, pelajar cemerlang B40 terpaksa bekerja, namun sukar untuk mereka menaikkan taraf hidup kerana upah yang diberikan adalah berdasarkan tahap pendidikan, jelas beliau.

“Kita tidak mahu menutup ruang untuk mereka menuntut ilmu dan membina masa depan yang lebih baik hanya kerana tiada sumber kewangan atau kemiskinan hidup. Sebagaimana yang kita tahu, kemiskinan mestilah dibasmi dengan ilmu dan kemahiran.

“Teori Kerjaya Holland juga menjelaskan setiap individu berpotensi cemerlang dalam bidang kerjaya masing-masing sekiranya mereka diberikan peluang untuk menyerlahkan potensi dan bakat dengan cara yang sesuai,” katanya, menambah keciciran pelajar miskin melanjutkan pengajian juga akan menyebabkan isu penggangguran yang tidak berkesudahan.

Kerana itu, beliau berpendapat cadangan kerajaan untuk memberi tajaan pengajian percuma kepada pelajar daripada keluarga miskin perlu disegerakan.

Syed Mohamad turut meluahkan kebimbangan wujudnya generasi yang meremehkan pendidikan dan menganggap keputusan cemerlang dalam peperiksaan tidak mampu mengubah nasib mereka.

IMPORT PAKAR DAN TENAGA MAHIR

“Idea utama kita dalam hal ini ialah bagaimana kita berupaya mengenal pasti calon pelajar B40 yang cemerlang dalam pengajian, dan seterusnya membantu mereka dengan menjadikan pendidikan sebagai peluang untuk mereka dan keluarga keluar daripada kitaran kemiskinan yang membelenggu mereka,” katanya.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini dilapor akan memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipetik berkata mekanisme dan dasar itu akan dibawa kepada jemaah menteri untuk disokong dan dijadikan dasar yang berkelangsungan.

Mengulas tentang program itu, Syed Mohamad berkata jika usaha tersebut tidak dilaksanakan, pertumbuhan sumber daya manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi akan terencat, sekali gus membawa pembaziran dalam konteks pembinaan modal insan dan kemajuan .pendidikan negara.

“Elakkan keciciran, ambil peluang manfaatkan potensi dan bakat mereka. Apabila bakat dan potensi individu tidak dapat digunakan atau disalurkan ke tempat yang sepatutnya, maka negara akan mengalami kerugian berganda dan menggunakan sumber tenaga (modal insan) yang tidak cekap,” katanya.

Situasi ini juga akan menyebabkan negara berdepan masalah kekurangan tenaga profesional dan juga mahir, selain turut membawa risiko berlaku permasalahan lambakan tenaga kerja kelompok pendidikan menengah.

Malaysia sebelum ini dilaporkan bakal kehilangan golongan profesional dalam masa 10 tahun lagi jika tidak ramai pelajar memilih melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh terdekat. Perkara tersebut dibimbangi berlaku apabila kebanyakan lepasan SPM menyatakan tidak minat menyambung pengajian mereka di pusat pengajian tinggi.

“Negara kurang memiliki tenaga kerja berkualiti pada masa akan datang, terutamanya dalam kelompok kumpulan sokongan dan profesional disebabkan kurangnya tahap pendidikan tertiari. Tidak mustahil suatu hari nanti negara terpaksa membawa masuk lebih ramai tenaga kerja asing yang mahir dan profesional.

“Ini berlaku apabila negara tidak lagi dapat melahirkan generasi tenaga kerja mahir serta profesional seperti doktor, jururawat dan pakar,” katanya.

KERUGIAN ASET NEGARA

Berpandangan serupa, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) Mohammad Rizan Hassan berkata negara akan kerugian aset penting jika cadangan penajaan pengajian percuma kepada pelajar miskin tidak dilaksanakan.

Katanya negara bakal kehilangan bakat serta potensi anak muda yang merupakan pelapis pemimpin serta insan yang bakal mencorakkan masa depan ekonomi negara.

“Sebagai kerajaan yang dilihat mengutamakan perpaduan dan menyentuh konsep Malaysia Madani berteraskan sikap ihsan, sudah pasti saya melihat kumpulan ini perlu dibantu kerana mereka merupakan aset terbesar negara yang mesti diletakkan di tempat yang betul, agar boleh memberi pulangan kepada aspek kesejahteraan ekonomi dan sosial negara,” katanya.

Tambah aktivis belia itu, jika akses kepada pendidikan, baik akademik ataupun kemahiran, buat golongan ini tidak dipermudah, dapat diibaratkan perjalanan pelajar cemerlang B40 berkenaan telah dinoktahkan.

“Perkara ini penting, terutama mereka yang miskin serta B40, kerana belia kita mempunyai dua aset yang perlu digilap, iaitu aset luaran dan aset dalaman.

“Aset dalaman bermaksud kerohanian, jati diri, motivasi dan lain-lain, sementara luaran pula meliputi pembinaan bakat dan potensi. Jika tidak disediakan satu platform untuk kedua-dua perkara ini bagi menyalakan semangat cinta kepada ilmu, kita seolah-olah mewujudkan laluan sukar kepada mereka yang seterusnya akan menjadi liabiliti kepada negara,” tegas beliau.

Sumber : Bernama. Pautan : Bernama

 

 

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.