kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Jumlah Belia Menganggur Semakin Berkurangan

 

Jumlah belia menganggur semakin berkurangan

 

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran dalam kalangan belia menyusut bagi tempoh empat bulan berturut-turut kepada 11.3 peratus pada Februari lalu berbanding 11.5 peratus pada Januari, tetapi masih melepasi paras sebelum pandemik iaitu 9.9 peratus yang dicatatkan pada Disember 2019.

Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), Suhaimi Ilias, berkata walaupun kadar pengangguran golongan itu didapati menyusut, namun kadar di bawah pengangguran meningkat kepada 11.9 pada suku keempat 2022.

"Kadar pengangguran belia dan guna tenaga tidak penuh menggariskan isu struktur seperti ketidakpadanan bekalan-permintaan; kekurangan bakat; kualiti vs kuantiti pekerjaan.

"Satu lagi trend struktur yang ketara ialah peningkatan dalam pekerjaan/pekerja tidak formal memandangkan peningkatan yang berterusan dalam 'Pekerja Akaun Sendiri' (iaitu mereka yang berpendapatan harian bekerja sebagai peniaga kecil, penjaja, pengusaha gerai makanan serta pekebun kecil serta pekerja gig) sejak Januari 2021 (2.40 juta) kepada 2.89 juta pada Februari 2023.

"Malah, segmen pekerjaan ini meningkat lebih cepat daripada jumlah guna tenaga," katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, Suhaimi berkata, Maybank IB mengekalkan unjuran kadar pengangguran tahun ini sebanyak 3.5 peratus, lebih baik berbanding 3.8 peratus pada 2022 dan 4.6 peratus (2021).

"Di tengah-tengah jangkaan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) benar yang lebih perlahan sebanyak 4.0 peratus tahun ini berbanding pertumbuhan 8.7 peratus tahun lalu, ramalan kadar pengangguran kami untuk tahun ini dibayangi kadar pengangguran bulanan berdasarkan pergerakan tidak pada landasannya pada 2023 selepas aliran menurun pada 2022 iaitu daripada 4.2 peratus pada Januari kepada 3.6 peratus pada September hingga Disember 2022," katanya.

Kadar pengangguran menyusut kepada 3.5 peratus pada Februari 2023 selepas 'terperangkap' pada 3/6 peratus pada September 2022 hingga Januari 2023 dan berada pada kadar purata 3.6 peratus.

Kadar pengangguran belia juga berkurangan dalam keadaan pertumbuhan pekerjaan tidak formal yang lebih pantas berbanding jumlah pertumbuhan pekerjaan.

"Kami mengekalkan ramalan kadar pengangguran 2023 kami sebanyak 3.5 peratus," tambah Suhaimi.

Bagi tempoh bulan dikaji, bilangan penganggur menyusut kepada 592,000 orang daripada 596,000 orang pada Januari berikutan pertumbuhan lebih pantas dalam pekerjaan (2.9 peratus) berbanding tenaga buruh.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan pekerjaan terus meningkat dalam sektor Perkhidmatan, khususnya Makanan & Minuman, Perdagangan Borong & Runcit dan Pentadbiran, serta dalam sektor Pembuatan, Pembinaan, Perlombongan & Kuari dan Pertanian.

Berdasarkan statistik pembuatan bulanan terkini, terdapat penyederhanaan dalam pertumbuhan guna tenaga sektor serta upah pembuatan dan pertumbuhan gaji.

Sementara itu, pemberhentian pekerja pada Februari 2023 meningkat kepada 10.9 peratus tahun ke tahun, tetapi susut bulan ke bulan kepada 3,089 orang berbanding 4,042 orang pada Januari.

Bagaimanapun, ia meningkat pada Mac 2023 sebanyak 24.6 peratus tahun ke tahun dan 24.8 peratus bulan ke bulan kepada 3,854 orang.

Pada suku pertama 2023, pemberhentian meningkat 5.3 peratus tahun ke tahun kepada 10,985 berbanding 10,433 orang yang dicatatkan pada suku pertama 2022.

Sumber : Berita Harian. Pautan : Berita Harian

 

 

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.