kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Kempen Sedarkan Belia Benci Rasuah Perlu Berkesinambungan

20230703 kempen rasuah

 

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seramai 85 belia berusia antara 17 hingga 24 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan rasuah bagi tempoh 2018 hingga 2022. Daripada jumlah itu, seramai 37 belia dituduh di mahkamah dan 31 lagi selesai perbicaraan dan didapati bersalah.

SPRM sebelum ini pernah mendedahkan kesanggupan mahasiswa memberi dan menerima rasuah. Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah pada 2016 menunjukkan 16 peratus daripada 1,000 mahasiswa menjadi responden sanggup menerima rasuah jika mempunyai peluang dan kuasa berbanding 10.7 peratus pada 2015.

Kajian juga mendapati 18.2 peratus pelajar bersedia memberi rasuah supaya mereka tidak dikenakan tindakan berbanding 17.4 peratus pada 2015.

Harus diingat belia adalah pemimpin pelapis negara dan jika di peringkat awal sudah mula terpalit 'najis rasuah', apakah nasib dan hala tuju negara ini pada masa hadapan. Justeru penyakit sosial serius ini perlu dikawal, dibendung dan dirawat segera.

Semua pihak perlu sedar jika rasuah berleluasa dalam kalangan belia, ia boleh merosakkan masyarakat dan menghancurkan negara sekali gus membantutkan hasrat kerajaan mahu membentuk dan melahirkan masyarakat madani.

Golongan belia adalah komponen sangat penting dalam struktur sosial masyarakat, justeru benteng kukuh perlu dibina bagi mengelak rasuah menembusi lingkaran kehidupan mereka. Mungkin ramai anak muda tidak sedar mereka terbabit dengan salah laku rasuah.

Bagi mereka menerima sebarang imbuhan ketika melaksanakan sesuatu tugasan misalnya adalah perkara biasa dan tidak salah kerana dilihat sebagai balasan atau upah untuk kerja dilakukan.

Justeru, usaha menjelaskan keburukan gejala rasuah terutama diklasifikasikan sebagai perbuatan menerima atau memberi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan perlu dilaksanakan dengan lebih agresif dan kreatif.

Anak muda perlu dididik dan diajar perkara ini dari peringkat kanak-kanak hingga ke dewasa. Mereka perlu diberi kefahaman jelas rasuah itu salah dan tidak beretika. Secara umumnya rasuah bukan semata-mata soal politik, agama dan bangsa lagi, sebaliknya rasuah akan memerangkap sesiapa saja terutama manusia lemah pegangan nilai integritinya.

Sebab itu, keadaan menjadi lebih parah jika golongan belia hendak memulakan kehidupan turut terpalit dengan rasuah. Hal ini tidak mustahil kerana belia berada dalam situasi mahu mencuba sesuatu yang baharu.

Kebetulan, pada waktu ini keadaan ekonomi tidak menentu sehingga memberikan pelbagai tekanan kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan kehidupan, maka pintu rasuah amat mudah terbuka kepada meraka.

Faktor ini mungkin menyebabkan mereka terdesak dan sanggup melakukan apa saja untuk menambah pendapatan tanpa mengira dari mana datangnya sumber berkenaan.

Oleh itu usaha membanteras rasuah terutama dalam kalangan belia perlu dipertingkat segera di semua peringkat. Kitaran tanggungjawab ini tidak boleh terputus misalnya dimulakan ibu bapa di rumah, diteruskan guru dan pensyarah, seterusnya diperkasakan majikan dan rakan setugas di tempat kerja.

Jika manifestasi tanggungjawab ini dapat dilaksanakan sepenuhnya semua pihak, kita yakin impian menjadikan negara dan rakyat bebas daripada rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dapat direalisasikan.

Dalam konteks inisiatif SPRM dan agensi kerajaan lain, diharap penubuhan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR), pelaksanaan Program Wira Anti Rasuah (WAR) di sekolah sejak 2014 serta pengenalan Modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) sebagai mata pelajaran wajib di universiti bermula tahun ini dapat membantu menyelamatkan belia daripada gejala rasuah.

Penulis adalah Timbalan Ketua, Panel Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Sumber :  Berita Harian

Pautan : Berita Harian

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.