- Home
- Berita Terkini
- Majlis Apresiasi dan Perhimpunan Mesra Bulanan IYRES bagi Bulan Februari 2025
Majlis Apresiasi dan Perhimpunan Mesra Bulanan IYRES bagi Bulan Februari 2025
𝟮𝟴 𝗙𝗘𝗕𝗥𝗨𝗔𝗥𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟱 (𝗝𝗨𝗠𝗔𝗔𝗧) | 𝗣𝗨𝗧𝗥𝗔𝗝𝗔𝗬𝗔
Bagi menghargai jasa dan perkhidmatan YBrs. Dr. Vellapandian Ponnusamy sebagai Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), satu majlis apresiasi telah diadakan sempena pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Institut Sukan Negara berkuat kuasa 25 Februari 2025. Majlis ini turut diadakan bersama Perhimpunan Mesra Bulanan IYRES bagi bulan Februari 2025 yang berlangsung pada 28 Februari 2025 bertempat di Putrajaya.
"Sepanjang 5 tahun dan 4 bulan YBrs. Dr. Vellapandian Ponnusamy memegang jawatan sebagai KPE IYRES, pelbagai kejayaan cemerlang telah dicapai dalam bidang penyelidikan, pengurusan data, penerbitan dan pelaksanaan program intelektual. IYRES yang merupakan pusat penyelidikan utama bagi pembangunan belia di Malaysia telah semakin dikenali, memperkukuh kedudukannya di mata pemegang taruh dan menjadi rujukan utama dalam merangka dasar serta polisi. Pencapaian ini turut diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa terutamanya dalam perkongsian kepakaran dalam bidang penyelidikan." kata YBhg. Encik Muhammad Khairil Khalid, Pengerusi Lembaga Pengarah dalam ucapan apresiasinya.
Majlis tersebut juga telah menyaksikan tayangan video khas yang memaparkan perjalanan karier YBrs. Dr. Vellapandian sepanjang di IYRES. Selain itu, YBhg. Encik Muhammad Khairil Khalid turut menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata daripada pihak IYRES dan Kelab Rekreasi IYRES kepada YBrs. Dr. Vellapandian sebagai tanda kenang-kenangan atas sumbangan beliau.
Hadir sama di majlis tersebut adalah YBhg. Encik Muhammad Khairil Khalid (Pengerusi Lembaga Pengarah IYRES), YBhg. Puan Azura Abidin (Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara), ahli-ahli Lembaga Pengarah dan seluruh Warga IYRES.