- Home
- Berita Terkini
- Ceburi TVET, buang jauh-jauh budaya pilih kerja
Ceburi TVET, buang jauh-jauh budaya pilih kerja
Sektor ekonomi utama negara seperti pembinaan, perkilangan, perladangan dan perkhidmatan sangat bergantung kepada pekerja asing kerana tidak mampu menarik minat pekerja tempatan.
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menganggarkan negara memerlukan kira-kira 700,000 pekerja asing untuk menyokong keupayaan industri dan membangunkan sektor ekonomi.
Harapan kita besar untuk menyaksikan lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan belia tempatan mula mengambil alih tugas pekerja asing secara berperingkat.
Lepasan TVET perlu mula mengisi kekosongan jawatan sektor kritikal. Kita perlu memastikan pelajar TVET memiliki pengetahuan dan kemahiran diperlukan.
Kita yakin lulusan TVET ada kualiti diperlukan majikan, sekali gus mampu memenuhi tuntutan tugas dan tanggungjawab pelbagai sektor kritikal seperti pembinaan, perkilangan dan perladangan.
Ini terbukti berdasarkan kadar kebolehpasaran graduan TVET secara purata kini mencecah 94.5. Lebih menarik, minat belia negara menyertai TVET semakin meningkat, iaitu daripada 407,000 pelajar pada 2023 kepada lebih 423,000 tahun lalu.
Trend ini sangat memberangsangkan dan memberi gambaran awal betapa lulusan TVET bakal mengambil alih peranan pekerja asing secara perlahan-lahan.
Kita menyokong penuh segala inisiatif kerajaan menjayakan Dasar TVET Negara 2030, terutama memantapkan institusi dan kurikulum berasaskan keperluan industri dan meningkatkan kemahiran tenaga pengajar.
Selain itu, memantapkan pembabitan industri bagi pelaksanaan latihan serta pemodenan alat bantuan mengajar bagi memastikan lepasan TVET kekal kompetitif dalam pasaran kerja.
Malah kewujudan Kod Amalan Akreditasi Program TVET (COPTPA) sebagai garis panduan bagi memastikan kursus TVET menepati piawaian dan keperluan industri membuktikan kerajaan menitikberatkan aspek kualiti.
Ibu bapa kena bantu pelajar buat pilihan
Diharap ibu bapa dan belia akan lebih cakna serta memberi perhatian serius terhadap peluang disajikan melalui kursus TVET di pelbagai institusi latihan. Ibu bapa perlu memastikan anak membuat pilihan betul selepas menamatkan persekolahan, khususnya selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ia agar hala tuju dan masa depan mereka lebih jelas dengan mengambil kira persekitaran pasaran buruh semasa serta akan datang.
Harus diingat, lepasan TVET juga berpeluang cerah menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti sarjana muda di universiti.
Rekod menunjukkan setiap tahun, lebih kurang 300,000 lepasan SPM tidak mahu melanjutkan pelajaran. Ia kerugian besar, bukan sahaja kepada mereka sendiri, bahkan masa depan negara.
Hakikatnya, walaupun bilangan pelajar menyertai TVET mula meningkat, masih banyak perlu dilakukan untuk mencapai sasaran negara melahirkan 35 peratus tenaga mahir menjelang 2030.
Jadi golongan belia perlu sedar tanggungjawab diletakkan di bahu mereka, lantas buang jauh-jauh budaya memilih kerja atau sikap tidak mahu menyambung pengajian hingga akhirnya merugikan masa depan sendiri.
Dalam pada itu, keputusan kerajaan sebelum ini membekukan permohonan kuota penggajian pekerja asing sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak, sewajarnya membuka peluang kepada majikan menggajikan lulusan TVET tempatan.
Majikan perlu percaya dengan kemampuan anak tempatan, cuma mereka memerlukan peluang dan platform untuk menimba pengalaman serta membuktikan kemampuan.
Diharap pelbagai usaha dilakukan kerajaan mampu menarik lebih ramai belia menyertai TVET, manakala majikan membuka ruang seluasnya kepada lepasan TVET.
Penulis adalah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM)
Sumber: UPM, Berita Harian