kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Elok GIG Separuh Masa, Lanjutkan Pelajaran Peringkat Tinggi

 

 grab

 

KUALA LUMPUR: Memilih kerjaya lebih anjal dan tidak terikat dengan waktu pejabat dikatakan antara faktor lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih berminat menceburi ekonomi gig, berbanding melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Malah, ia dikatakan didorong aspek pendedahan kepada aplikasi digital dan gajet, selain berkemungkinan keputusan sedemikian dibayangi pengaruh rakan sebaya serta persekitaran.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Abdul Hakim Abdul Rani, berkata keadaan itu turut didorong desakan ekonomi semasa, selain faktor tiada jaminan peluang kerjaya dalam bidang dipelajari mereka.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan penetapan kadar gaji minimum semasa tidak mampu menampung kos sara hidup turut mendorong lebih ramai lepasan SPM berminat untuk terus menceburi alam kerjaya di sektor ekonomi gig.

Abdul Hakim antara lain mengakui perkembangan berkenaan dikhuatiri menyebabkan negara kepupusan tenaga kerja mahir dalam jangka panjang, sekiranya lebih ramai lepasan SPM tidak berminat menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

"Trend anak muda ketika ini dilihat lebih cenderung memilih kerjaya lebih anjal sebagai pilihan utama, berbanding menghabiskan wang untuk pengajian tetapi belum pasti boleh memiliki kerjaya dalam bidang berkenaan.

"Malah, pendapatan kasar pekerja gig dianggarkan RM4,000 ke atas, bergantung kepada kerajinan masing-masing untuk bekerja lebih masa," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas laporan hanya sekitar 40 peratus daripada purata 500,000 lepasan SPM direkod melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau menyertai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) setiap tahun.

Statistik merekodkan hanya 40 peratus daripada 500,000 lepasan SPM melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam, institusi pengajian tinggi atau TVET setiap tahun, manakala baki sekitar 300,000 lagi berkemungkinan menyertai sektor pekerjaan.

Baki lepasan SPM yang tidak melanjutkan pengajian itu berkemungkinan bekerja di sektor perkilangan dan perkhidmatan penghantaran makanan atau barangan mahupun e-hailing dan p-hailing.

Pada Februari lalu, hasil kajian Jabatan Perangkaan (DOSM) mendapati 97.71 peratus pekerja gig dalam perkhidmatan e-hailing di negara ini adalah golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun, manakala bakinya dewasa berusia lebih 60 tahun.

Maklumat pekerjaan dan pendapatan pula mendapati 73.98 peratus pekerja perkhidmatan berkenaan menjadikan kerjaya itu sebagai sumber pendapatan utama, manakala 70.35 peratus pula menjadikannya pekerjaan utama.

Kajian DOSM juga mengenal pasti 1.46 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja perkhidmatan berkenaan adalah pelajar.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pekerja Industri e-Hailing Malaysia (PKEH), Jose Rizal, berkata keputusan sebahagian lepasan SPM cenderung menjadi pekerja gig mungkin dibayangi persekitaran, sebaliknya tidak membuat penilaian menyeluruh.

Sebaliknya, beliau menyarankan lepasan SPM menjadikan kerjaya dalam ekonomi gig sebagai pekerjaan separuh masa dan menumpukan perhatian untuk melanjutkan pengajian.

"Memang pendapatan kasar boleh mencecah hingga RM6,000 sebulan, namun perlu ambil kira jumlah masa bekerja dan semua kos lain yang perlu ditanggung, jika lepasan SPM memilih kerjaya ini sebagai pekerjaan utama.

"Realitinya, pendapatan bersih pemandu e-hailing yang bekerja selama 45 jam seminggu kurang daripada RM1,500 sebulan dan kadar ini sangat tidak berbaloi berbanding gaji diterima pekerja kolar biru di luar sana.

"Mereka kadang-kadang tak tahu pun realiti ekonomi gig, tetapi terpengaruh dengan rakan sebaya dan persekitaran, menyebabkan lepasan SPM lebih selesa untuk tidak melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi," katanya.

Mengulas perkembangan itu, tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, mengakui khuatir keadaan itu akan membantutkan perkembangan negara dalam jangka panjang, selain berharap hasil dapatan berkenaan hanya bersifat sementara.

Beliau berkata, keadaan itu dikhuatiri merencatkan usaha meningkatkan taraf dan kualiti hidup masing-masing, selain perkembangan itu wajar diambil berat semua pihak, terutama institusi pendidikan tanah air serta ibu bapa.

"Semua pihak perlu menggembleng tenaga mencari penyelesaian perkara ini. Pihak sekolah dan IPT perlu jalin kerjasama dan laksana libat urus lebih banyak untuk beri lebih banyak pendedahan kepada murid mengenai kepentingan melanjutkan pengajian.

"Peranan ibu bapa dan masyarakat juga penting untuk memastikan anak mereka tidak membuat keputusan kurang tepat berhubung pemilihan kerjaya masing-masing," katanya.

Sumber : Berita Harian. Pautan : Berita Harian

 

 

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.