kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Laksana Dasar Komprehensif Atasi Isu Remaja Enggan Ke IPT

remaja enggan ke IPT

 

Anak muda adalah harapan agama, bangsa dan negara pada masa hadapan. Anak muda sering disebut sebagai pengganti kepemimpinan negara. Wajah dan karakter anak muda yang ada pada hari ini adalah gambaran kepemimpinan negara pada masa hadapan.

Jika anak muda pada hari ini berkualiti tinggi dari segi nilai, pemikiran, sikap, tingkah laku dan pengetahuan, maka inilah anak muda boleh diharapkan memimpin dan memakmurkan negara suatu hari nanti. Jika sebaliknya, anak muda ini tetap memimpin negara.

Justeru, sebelum terlambat dan lebih gawat, anak muda ini perlu dibimbing dan dididik supaya dapat memilih jalan hidup jelas dan berwawasan. Pada ketika ini, berdasarkan data Jabatan Statistik suku pertama 2023 terdapat 11.5 juta anak muda, mewakili 35 peratus daripada keseluruhan penduduk iaitu 33.1 juta.

Ia suatu jumlah besar. Anak muda dalam konteks ini, termasuk awal remaja, remaja, awal dewasa dan dewasa iaitu berusia antara 15 hingga 39 tahun. Lingkungan umur ini disebut sebagai belia. Namun, anak muda dalam kategori awal remaja dan remaja iaitu antara 14 hingga 19 tahun adalah tahap paling mencabar dan kritikal.

Terdapat 2.8 juta anak muda berada dalam kategori rentan ini iaitu mudah terdedah serta berisiko melakukan penyimpangan sosial seperti kelucahan, ponteng sekolah, merokok, vandalisme dan gangsterisme.

Di Malaysia, anak muda dalam kategori berisiko ini seharusnya diberi perhatian lebih komprehensif. Kebanyakan daripada mereka berisiko ini dipengaruhi lokasi kediaman, latar belakang dan hubungan kekeluargaan, tingkat semangat, pergaulan bebas dengan rakan sebaya serta pengaruh media sosial.

Dalam konteks politik, anak muda sangat penting bagi meraih undi. Pemikiran dan emosi mudah dipesongkan menerusi sentimen dan 'cuci otak'. Indoktrinasi politik sangat berjaya dalam kalangan anak muda lebih banyak menggunakan emosi berbanding rasionaliti.

Justeru, parti politik akan menawarkan pelbagai inisiatif kepada anak muda supaya mengundi parti boleh memperjuangkan masa hadapan mereka.

Pelbagai perkara dijanjikan untuk anak muda seperti akses pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan dan gaji menarik, kemudahan pemilikan rumah dengan kadar pinjaman munasabah, bantuan segera (one-off), peluang latihan dan kemahiran dan pelbagai ganjaran lain.

Namun, amat jarang parti memberi penekanan dalam manifesto mereka terhadap usaha membangunkan nilai, sikap pemikiran dan adab anak muda supaya mampu mendepani cabaran masa hadapan amat mencabar.

Hanya tumpu pembangunan fizikal

Pendekatan dan strategi dicadangkan parti lebih tertumpu kepada pembangunan fizikal berbanding usaha membangunkan karakter, nilai dan jati diri. Jika ada pun, ia hanya usaha dibuat untuk melahirkan pemimpin pelapis parti berkaitan.

Sejak kebelakangan ini, timbul beberapa insiden sosial membimbangkan berkaitan anak muda. Tiga kajian dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Statistik dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dengan beberapa universiti di Malaysia.

Kajian ini memaparkan berlaku perubahan nilai, pemikiran dan tingkah laku anak muda pada ketika ini yang tidak sihat dan amat membimbangkan. Ia menunjukkan ada sesuatu tidak kena sedang berlaku dalam sistem pendidikan formal, asuhan keluarga, persekitaran dan lingkungan serta dasar berkaitan anak muda ini.

Dalam konteks kesihatan pula, kajian Jabatan Statistik mendapati 60 peratus iaitu 300,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat melanjutkan pelajaran lebih tinggi. Kebanyakannya memilih bekerja di kilang dan menceburi ekonomi gig.

Statistik ini amat mencemaskan dan boleh memberi kesan negatif kepada masa hadapan pembangunan negara. Jika ia tidak dibendung dan langkah awal tidak disegerakan, ia akan menjadi semakin parah. Ada kemungkinan menyebabkan tenaga mahir dan profesional dalam bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, perakaunan, kejuruteraan dan farmasi merosot.

Sebaliknya, bilangan pekerja tidak mahir akan meningkat dan pengangguran melebar kerana pekerjaan mereka akan digantikan mesin yang lebih cepat, tepat dan produktif. Amaran awal ini diberikan menerusi The Future of Job Report 2023.

Selain itu, kajian CIJ dengan kerjasama beberapa universiti pula mendapati sebanyak 117,152 hantaran di media sosial berbaur naratif menghina kaum, agama dan institusi Raja. Sungguhpun kajian ini tidak menyebutkan demografi responden dapat dijangkakan kebanyakan mereka adalah anak muda aktif di media sosial.

Apatah lagi, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Undi18 dan bilangan anak muda layak mengundi berjumlah 10.6 juta. Ramai penganalisis politik menyebutkan pola pengundian anak muda tidak memihak, tetapi dipengaruhi dakyah dan sentimen kaum serta agama.

Sementara itu, terdapat tiga dasar berkaitan anak muda ketika ini iaitu Dasar Belia Negara (1985), Dasar Pembangunan Belia Negara (1997) dan Dasar Belia Malaysia (1995). Ketiga-tiga dasar ini secara umumnya bermatlamat melahirkan generasi anak muda berketerampilan, memiliki nilai dan jati diri berkualiti serta kalis cabaran.

Namun, sehingga kini tiada suatu dasar berkaitan anak muda ini dikaji dan dinilai kejayaan atau kegagalannya. Tanpa kajian mendalam, sukar untuk ditemukan dasar dijalankan itu sesuai dan berkesan mencapai matlamat digariskan.

Perlu kajian impak dasar

Justeru, kajian mendalam perlu dijalankan pelbagai pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan bagi melihat kelompangan wujud dalam proses pelaksanaan dasar dijalankan. Tidak sedikit kos terbabit dalam pelaksanaan dasar berkaitan anak muda ini.

Lazimnya, sebaik tamat tempoh sesuatu dasar, dasar baharu akan diperkenalkan tanpa terlebih dahulu mengkaji dan mendalami impak daripada dasar dilaksanakan. Jika disoroti apa yang terkandung dalam dasar belia sebelum ini, memang cukup lengkap segala strategi dan program disediakan untuk mereka.

Bukan mudah sebenarnya untuk mencapai matlamat sesuatu dasar yang berteraskan 'kemanusiaan' iaitu berkaitan pembangunan nilai, pemikiran, sikap, tingkah laku dan pengetahuan kerana ia bersifat abstrak dan tidak mudah diukur jaya-gagalnya dalam tempoh singkat.

Gagal atau jaya sesuatu dasar berkaitan 'manusia' itu dapat dilihat dalam jangka panjang menerusi perubahan sosial positif atau paling tidak berdasarkan kajian semasa dijalankan seperti dilakukan baru-baru ini.

Terkini, Model Baharu Pembangunan Belia akan diperkenalkan bagi memberi nilai tambah kepada dasar belia sebelum ini. Apa diharapkan daripada model baharu ini adalah ia dapat menjadi tonik mujarab bagi membangunkan generasi masa hadapan yang sasa, kritis, inovatif serta kalis cabaran.

Dengan pelbagai cabaran baharu pada zaman pasca kebenaran dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), pendekatan lebih komprehensif dan ampuh diperlukan. Kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan buruk jangka panjang kepada negara.

Maka anak muda mesti dibentuk, dilentur dan dididik mengikut acuan dan resipi betul, tepat dengan ralat minimum. Semua pihak seharusnya berasa cemas dan segera memikirkan pendekatan terbaik untuk membantu memulihkan nilai, sikap dan tingkah laku anak muda ini.

Penulis adalah Penyelidik di Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan & Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia

Sumber : Berita Harian. Pautan : Berita Harian

 

 

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.