kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Sokong Gerakan #MZB365 Perangi Provokosi Kebencian

 

gerakan mzb365

ANGGOTA masyarakat perlu menyokong penuh inisiatif 18 pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan media melancarkan Gerakan #MZB365 bertujuan memerangi ucapan berunsur kebencian dan provokasi mengenai etnik serta agama secara rahmah setiap hari.

Gerakan merentasi agama, bangsa dan ideologi politik ini penting kerana isu provokasi melampau mula mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat, jika dibiarkan boleh melumpuhkan negara, memusnahkan masyarakat dan meruntuhkan jambatan perpaduan dipertahankan selama ini.

Masyarakat perlu membantu mempromosikan budaya bertolak ansur, bertimbang rasa disusuli amalan memohon dan memberikan maaf zahir batin setiap hari sepanjang tahun tanpa terhad kepada sesuatu musim perayaan semata-mata.

Pihak melakukan kesalahan perlu segera sedar kekhilafan dan memohon kemaafan tanpa alasan, manakala memberikan kemaafan secara ikhlas adalah amalan terpuji, boleh mengharmonikan perhubungan sesama manusia.

Memasuki usia kemerdekaan ke-67 ternyata mengurus perbezaan dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini menjadi semakin kompleks dan mencabar ada lagi tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab mula mencetuskan polemik dan kemudaratan.

Misalnya ada sahaja cuba mengambil kesempatan dan bermain api apabila menyentuh isu sensitif berkaitan 3R, (bangsa, agama dan Raja). Akibatnya mula berlaku pelbagai pertelagahan, terutama dalam platform media sosial dengan saling menuduh dan menuding jari.

Kes 3R meningkat 123 peratus

Kes membabitkan isu 3R dilaporkan meningkat sebanyak 123 peratus bagi tempoh suku pertama tahun ini, berbanding tempoh sama pada tahun lalu, manakala sebanyak 47 isu perpaduan berkaitan 3R direkodkan tahun ini, berbanding 21 isu bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Provokasi kebencian etnik dan agama boleh diperangi dengan menyuburkan budaya toleransi, bertolak ansur dan saling bermaafan di antara satu sama lain. Kita perlu banyak belajar dari generasi terdahulu yang sanggup bertolak ansur mengetepikan segala ego serta kepentingan peribadi dan etnik masing-masing.

Pada ketika ini defisit kepercayaan dan keyakinan terhadap etnik lain dilihat semakin berkurangan, akibatnya kita mudah marah dan melenting, mengeluarkan ucapan berbaur kebencian serta terlalu mementingkan diri sendiri atau etnik masing-masing sahaja.

Budaya ini perlu diperangi dan dihentikan dengan segera melalui amalan nilai murni yang menyokong agenda perpaduan nasional.

Selain itu, kontrak sosial, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlu terus dijadikan sebagai prinsip dan panduan hidup masyarakat majmuk di negara ini.

Masyarakat tidak boleh sama sekali membelakangkan panduan hidup ini dalam apa juga keadaan. Hal ini penting kerana kegagalan kita menghayati dan mengamalkan panduan ini boleh mencetuskan huru-hara serta mengganggu gugat ketenteraman dan keamanan negara.

Hakikatnya kita perlu sedar prinsip hidup berpaksikan panduan ini mampu mencegah kita daripada menyentuh isu sensitif seperti 3R yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Generasi muda perlu memahami, menghayati dan mengamalkan prinsip menjadi asas kehidupan masyarakat majmuk selama ini supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membelakangkan undang-undang serta semangat perpaduan nasional.

Justeru, Gerakan #MZB365 perlu dijadikan agenda nasional mempromosikan gaya hidup masyarakat berperlembagaan, menyuburkan amalan nilai murni Rukun Negara serta memacu pembentukan masyarakat Madani.

Kempen lebih tersusun perlu menumpukan kepada usaha menyedarkan masyarakat bahaya provokasi kebencian etnik dan agama. Perpaduan rakyat berbilang kaum wajar dijadikan objektif utama kempen dengan dukungan strategik agensi dan kementerian berkaitan khasnya Kementerian Perpaduan Negara.

Perhatian khusus perlu diberikan kepada golongan belia sebagai pewaris masa hadapan yang perlu memahami kepentingan memelihara perhubungan kaum dan mempertahankan perpaduan sebagai prasyarat kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

Kepada kelompok yang suka menyebarkan provokasi kebencian etnik dan agama, hentikanlah perbuatan tidak berfaedah ini. Jangan bakar jambatan perpaduan dengan api kebencian kerana pada akhirnya 'yang menang jadi arang, yang kalah akan jadi abu'.

Sebagai warganegara bertanggungjawab, kita perlu meraikan perbezaan yang ada dan terus menyuburkan semangat perpaduan nasional melalui Gerakan #MZB365.

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

Sumber : Berita Harian
Pautan  : Berita Harian

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.