- Laman Utama
- Berita Terkini
- Belia Perlu Lengkapkan Diri Dengan Pelbagai Pengetahuan dan Kemahiran - SIM
Belia Perlu Lengkapkan Diri Dengan Pelbagai Pengetahuan dan Kemahiran - SIM
PUTRAJAYA, 3 Mei (Bernama) - Belia perlu lebih melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran
untuk mengharungi era globalisasi, memandangkan waktu kerja anjal telah mula diamalkan di seluruh dunia, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Dalam kenyataan hari ini beliau berkata waktu kerja anjal telah termaktub dalam Seksyen 60P dan 60Q, Akta Kerja 1955(Pindaan) 2022, di mana pekerja berhak meminta daripada majikan mereka untuk pengaturan kerja fleksibel untuk mengubah waktu bekerja, hari bekerja atau perubahan tempat bekerja tertakluk kepada Bahagian XII atau apa-apa yang terkandung dalam kontrak perkhidmatan.
Justeru katanya majikan juga tidak terhad dengan pekerja yang bekerja dari rumah, dan boleh merekrut mana-mana pekerja asing di mana gajinya lebih murah dan tidak perlu hadir ke pejabat secara fizikal.
"Kementerian Sumber Manusia dengan penjenamaan dan iltizam baharu 3K iaitu Kebajikan, Kemahiran, Keberhasilan Pekerja mengambil kira perspektif belia yang berbeza di mana gaji yang diterima bukan lagi tarikan utama, tetapi fleksibiliti dalam bekerja menjadi salah satu kriteria utama dalam pemilihan pekerjaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis Luncheon Talk - Dasar Sumber Manusia Dari Perspektif Belia, yang diadakan baru-baru ini bersempena dengan Sambutan Hari Pekerja.
Luncheon Talk yang julung kali diadakan itu berkongsi pendapat dan maklum balas berkenaan Dasar Sumber Manusia yang dihadiri oleh 120 orang belia yang terdiri alumni Yayasan Sukarelawan Siswa, wakil Majlis Belia Malaysia, dan pelajar-pelajar universiti awam serta universiti swasta.
Dalam program itu, perkara seperti pekerja sektor gig, kemahiran di peringkat Institut Pengajian Tinggi, ketidak padanan pekerjaan dan pasaran kerja adalah antara maklum balas yang diterima oleh Sim.
Sumber : Bernama
Pautan : Bernama