- Laman Utama
- Berita Terkini
- Hari Belia Negara kekal segar, terus dihayati
Hari Belia Negara kekal segar, terus dihayati
Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) sudah melangkah ke usia Jubli Perak, ke-25 tahun penubuhannya. Diwujudkan pada tahun 2000 di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai peneraju utama dalam memperkasa belia dan sukan negara.
KBS melalui JBSN terus menghargai dan mengiktiraf peranan belia di dalam agenda pembangunan negara dengan pelaksanaan Hari Belia Negara (HBN) setiap tahun. Selama dua dekad setengah, JBSN bukan sekadar menjadi pelaksana dasar, malah menjadi pemangkin perubahan sosial, yang menyemai semangat kepimpinan, pengiktirafan dan keusahawanan dalam kalangan belia.
HBN menjadi antara program berimpak tinggi cerminan perjalanan panjang dan kejayaan JBSN dalam membina generasi muda yang yakin, berdaya tahan dan berwawasan.
Setiap tahun tanggal 15 Mei menjadi detik yang dinanti-nantikan oleh jutaan anak muda di Malaysia apabila negara menyambut Hari Belia Negara. Sejak diperkenalkan pada tahun 1964, sambutan ini menjadi satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan oleh kerajaan terhadap peranan besar golongan belia dalam pembangunan negara.
Sambutan tahun ini adalah edisi yang ke-61 dan tema Yakin Boleh masih dikekalkan dengan keperluan semasa. Dalam era digital yang menyaksikan perubahan landskap ekonomi dan sosial begitu cepat, ramai belia berhadapan dengan cabaran seperti tekanan hidup, kesihatan mental serta kepada krisis identiti.
Oleh itu, usaha membina keyakinan diri bukanlah perkara kecil. Ia asas pembentukan insan yang teguh jati dirinya, berani mencuba, tidak mudah putus asa dan sentiasa berfikiran positif walau dalam situasi sukar.
Belia yang yakin diri akan menjadi aset penting dan mampu menerajui Malaysia ke arah kemajuan yang inklusif, sejahtera serta berdaya tahan. Mereka bukan sekadar pengguna teknologi tetapi pencipta inovasi, bukan sekadar penerima peluang tetapi pencetus perubahan.
Hari Belia Negara program ikonik
Sambutan Hari Belia Negara adalah antara program utama KBS (KBS) yang dilaksanakan menerusi penyelarasan Jabatan Belia dan Sukan negara dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri, Pertubuhan Belia Peringkat Negeri dan Daerah.
Pengisian aktiviti juga membabitkan pelbagai pemegang taruh pembangunan belia yang merangkumi agensi kerajaan, swasta, syarikat korporat, badan berkanun serta pertubuhan bukan kerajaan.
Matlamat sambutan Hari Belia Negara adalah seperti berikut, penghargaan dan pengiktirafan daripada pihak kerajaan kepada golongan belia yang menyumbang kepada pembangunan negara; menaikkan semangat kecintaan dan patriotisme kepada golongan belia supaya terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara; dan menyediakan platform strategik kepada pemegang taruh untuk menyumbang kepada pembangunan belia.
Pengisian Sambutan HBN
Pada setiap tahun pelaksanaan HBN berubah mengikut lokasi, tema dan pengisian aktiviti. Pada tahun 2025, pelaksanaan HBN Peringkat Kebangsaan diadakan pada 13 hingga 15 Jun 2025 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang berkonsepkan Festival Belia dengan pengisian sebanyak 15 Port/Segmen/Pavilion seperti Pit Stop Anak Muda, Port Makan-makan, Port Healing (Terapi Jiwa), Port Gaming (E-Sukan), Port Fit Malaysia, Port Keluarga Muda, Laman Ekspresi, Wadah Insan, Ruang Kongsi #FYP, Hub Lifestyle, Hustlehub, Hub Transisi Belia, Pavilion Rakan Muda, Pavilion Asean, Pavilion Majlis Belia Malaysia (MBM).
Sementara itu, pada tahun 2024, HBN dilaksanakan di Melaka dengan bertemakan 10 gaya hidup Rakan Muda dan pada tahun 2023 pula HBN berlangsung di Negeri Sembilan bertemakan bidang keutamaan di bawah Dasar Belia Malaysia. Semua pengisian HBN peringkat kebangsaan dilaksanakan bersama rakan strategik Majlis Belia Malaysia, iaitu Badan Induk Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang berfungsi untuk menyelaras dan membimbing pertubuhan-pertubuhan belia yang bernaung di bawahnya.
Di antara pengisian utama di setiap pelaksanaan HBN adalah Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara dan Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara. Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2025 Peringkat Kebangsaan dan Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2025 Peringkat Kebangsaan adalah acara kemuncak sambutan Hari Belia Negara disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Jun 2025 (Sabtu).
Setiap tahun pelaksanaan Hari Belia Negara dilaksanakan dengan pelbagai aktiviti pengisian. Sejumlah 272 aktiviti sudah dilaksanakan semasa sambutan Hari Belia Negara 2025 di seluruh negara dengan penyertaan seramai 4.2 juta orang. Begitu juga dengan pelaksanaan HBN 2024 di seluruh negara dengan pengisian berjumlah 262 aktiviti dan penyertaan seramai 4.3 juta orang.
Perlunya kerjasama bersepadu pelbagai pihak
Setiap tahun HBN dijayakan dengan pembabitan pelbagai agensi dan rakan strategik. Contohnya bagi tahun 2025, ia digerakkan bersama pihak swasta mahupun syarikat multinasional menerusi inisiatif bersama. Antara syarikat terbabit adalah PACE, Biorism dan CelcomDigi yang terbabit dalam pengisian aktiviti Sambutan HBN 2025 Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Kerjasama strategik ini antara kejayaan besar dalam pelaksanaan sambutan Hari Belia Negara 2025 Peringkat Kebangsaan yang membuktikan hubungan kerjasama di antara kerajaan dan pihak swasta sentiasa bersama dalam pembangunan belia negara.
Sambutan Hari Belia Negara kekal relevan selari sehingga kini. Pada tahun 2025, dengan JBSN menyambut 25 tahun penubuhannya dan HBN disambut pada kali yang ke-61 menunjukkan bahawa pentingnya pembangunan belia yang digembleng bersama membabitkan pelbagai pihak.
Oleh itu, golongan belia perlu tampil ke hadapan bersama-sama untuk meletakkan bahawa golongan belia adalah satu golongan yang penting pada negara dan turut membabitkan diri secara aktif dalam inisiatif yang dijalankan oleh pihak kerajaan mahupun swasta menerusi pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia.
Sambutan Hari Belia Negara akan terus dilaksanakan sebagai penghargaan berterusan kepada golongan berkenaan di negara ini. Nantikan Sambutan Hari Belia Negara 2026 dengan penawaran pelbagai pengisian untuk belia.
Sumber: Berita Harian (Hari Belia Negara kekal segar, terus dihayati)