kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

PENCARIAN MAKLUMAT BERKAITAN KESIHATAN SEKSUAL DAN REPRODUKTIF DALAM KALANGAN REMAJA DI SARAWAK

Pencarian maklumat kesihatan seksual dan reproduktif (KSR) merupakan salah satu aspek penting dalam konteks pendidikan kesihatan. Tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui bagaimana remaja mengakses sumber maklumat berkaitan dengan tingkah laku mencari maklumat KSR di Sarawak. Kajian keratan rentas telah dijalankan di tiga lokasi di Sarawak iaitu di Kuching, Sibu dan Miri dengan saiz sampel sejumlah 1,146 orang yang berumur di antara 16 hingga 19 tahun. Pensampelan berbilang peringkat yang digunakan adalah berdasarkan kerangka pensampelan yang menyenaraikan daerah, perumahan dan kampung. Proses ini menggunakan sekurang-kurangnya lima peringkat proses persampelan dari pemilihan daerah sehingga kepada pemilihan responden dari setiap isirumah terpilih secara rawak. Data dikumpul menggunakan soal-selidik berstruktur. Kadar respons kajian ini adalah 95% (N=1,086). Keputusan kajian menunjukkan responden yang pernah mencari maklumat KSR dalam tempoh tiga bulan yang lepas ialah 43% (n = 467). Sebab utama mencari maklumat KSR adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran. Jenis maklumat yang paling utama dicari ialah berkenaan dengan penjagaan kesihatan diri. Tiga sumber utama maklumat KSR yang sangat kerap digunakan ialah melalui internet, rakan sebaya dan media cetak. Sumber maklumat KSR yang sangat diyakini ialah personel kesihatan, guru sekolah dan internet. Penemuan kajian mencadangkan keperluan untuk melihat kekuatan sumber-sumber maklumat dalam membangunkan strategi promosi kesihatan berkaitan KSR yang berkesan bagi golongan remaja di Sarawak.

Kata Kunci: Kesihatan, Maklumat, Remaja, Seksual, Sarawak

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

PENGLIBATAN BELIA DALAM AKTIVITI SUKARELAWAN MALAYSIA

Penglibatan belia dalam aktiviti sukarela dapat membantu usaha Negara ke arah memupuk sikap positif untuk membantu masyarakat, menanam penghayatan nilai-nilai murni serta mengukuh identiti diri. Penulisan ini bertujuan untuk membincangkan dapatan kajian mengenai penglibatan belia di Malaysia dalam aktiviti sukarela bagi tempoh 10 tahun (2008-2017) berdasarkan sorotan literatur secara sistematik. Dapatan kajian telah mengenalpasti empat tema yang terhasil iaitu faktor-faktor penglibatan belia dalam aktiviti sukarela, variasi keterlibatan belia dalam konteks aktiviti sukarela, deskripsi profil demografi penglibatan belia dalam aktiviti sukarela, dan model-model konseptual yang mendasari kajian-kajian sukarelawan dalam lingkungan Malaysia. Berdasarkan dapatan kajian, perbincangan mengenai implikasi praktis, teori, dan kajian akan datang turut dibahaskan.

Kata Kunci: Belia, Sukarelawan, Aktiviti sukarela, Model Sukarelawan, Analisis Sistematik

 

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

POTENSI PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN SOSIAL DALAM KALANGAN BELIA DI MALAYSIA

Aktiviti keusahawanan sosial merupakan bidang yang mengalami peningkatan Aktiviti keusahawanan sosial merupakan bidang yang mengalami peningkatan serta diiktiraf di dunia dan juga di Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit maklumat mengenai latar belakang pengalaman kerjaya usahawan sosial dalam kalangan belia di Malaysia. Tujuan kertas kajian ini dijalankan adalah untuk meneroka latar belakang pengalaman kerjaya usahawan sosial dalam kalangan belia di Malaysia. Penerokaan empirikal daripada kajian ini dapat memberi manfaat kepada pembangunan belia di Malaysia terutamanya dalam aspek aktiviti keusahawanan sosial. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif, iaitu pengumpulan data dengan kaedah temu bual separa berstruktur. Dapatan dari hasil kajian ini, terdapat empat tema yang dapat dipecahkan antaranya rangkaian, pengumpulan maklumat, pengetahuan tentang aktiviti keusahawanan sosial dan pengalaman bekerja.

Kata Kunci: Pengalaman Kerjaya, Usahawan Sosial Belia, Aktiviti Keusahawanan Sosial

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

KESAN PENGLIBATAN BELIA MALAYSIA DALAM KEUSAHAWANAN SOSIAL

Mutakhir ini konsep keusahawanan telah diperluaskan skop aplikasinya kepada konteks yang melibatkan pencapaian matlamat sosial dan bukan keuntungan. Konsep ini di label sebagai keusahawanan sosial, yang berfokuskan kepada matlamat sosial berbanding keuntungan. Konsep keusahawanan sosial adalah di dilaksanakan oleh individu yang mempunyai ciri keusahawanan seperti inovatif, proaktif, pengambilan risiko dan utamanya adalah berfokus kepada pencapaian aspirasi sosial. Keusahawanan sosial ini boleh dilaksanakan oleh setiap lapisan masyarakat dan tidak terlepas kepada golongan belia. Penglibatan belia dalam keusahawanan sosial bukan sahaja mampu melahirkan belia yang boleh mengendalikan sebuah perusahaan, juga mempunyai tanggungjawab sosial, mesra persekitaran dan mesra budaya, sekali gus menjadi agen penyelesaian kepada keruncingan masalah masyarakat. Keusahawanan sosial merupakan respon kepada masalah sosial masyarakat seperti pengangguran, kemiskinan, fragmentasi komuniti dan kelaparan yang semakin kronik untuk mencapai keadilan sosial sejagat. Masalah sosial masyarakat ini perlu diatasi terutamanya di kalangan belia. Ini kerana belia merupakan pewaris dalam mencapai kemajuan negara di mata dunia. Oleh yang demikian, kertas kajian ini disediakan bagi menjelaskan konsep keusahawanan sosial serta perlaksanaannya di kalangan belia di Malaysia. Selain dari itu, kertas kajian ini akan menerangkan pengaruh keusahawanan sosial dalam melahirkan belia berwawasan serta mencapai matlamat negara. Ini kerana keterlibatan belia dalam keusahawanan belia ini dapat melahirkan belia yang berpengetahuan, berkemahiran dan mempunyai nilai tambah untuk berdaya saing dan produktiviti yang dihasilkan. Keadaan ini dapat membina belia yang berkepimpinan dan mampu membawa nama Malaysia ke mata dunia. Secara kesimpulannya, kertas kerja ini diharapkan dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas mengenai konsep keusahawanan sosial dan kesan penglibatannya di kalangan belia dan negara berdasarkan kajian-kajian lepas. Metodologi yang digunakan adalah kajian yang sistematik yang mana hasil kajian lepas dianalisis dan diteliti bagi menyajikan fakta yang lebih komprehensif dan berimbang.

Kata Kunci: Keusahawanan Sosial, Masalah Sosial, Belia Berwawasan, Pembangunan Negara.

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

PERANAN PROGRAM TELEVISYEN TERHADAP PEMBENTUKAN PEMIKIRAN BELIA

Televisyen masih menjadi pilihan pengguna dan kekal relevan walaupun media sosial telah memonopoli penggunaan media massa. Kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti sejauhmana motif tontonan dan program pilihan yang ditonton melalui media televisyen masih relevan dalam kalangan belia di Malaysia dalam membentuk pemikiran mereka berdasarkan beberapa faktor demografi, pendedahan tontonan, program pilihan dan sikap terhadap televisyen. Kajian ini adalah berdasarkan kerangka Teori Penggunaan dan Pemuasan Kehendak. Sejumlah 1,990 orang belia terlibat dan menjawab borang soal selidik dalam kajian tinjauan berbentuk keratan rentas. Data yang diperolehi dianalisis secara statistik deskriptif dan inferensi berbantukan perisian SPSS. Enam (6) motif tontonan televisyen dikenalpasti, iaitu menjana pengetahuan, tabiat/masa lapang, peneman, eskapisme, rangsangan dan bersantai menjadi asas kajian. Dapatan menunjukkan kategori umur mempunyai hubungan yang signifikan dengan kesemua motif tontonan televisyen kecuali menjana pengetahuan. Hampir kesemua motif tontonan televisyen juga menunjukkan hubungan positif yang signifikan dengan tahap tontonan, program pilihan dan sikap berdasarkan tanggapan terhadap realiti kandungan program yang dipaparkan. Walau bagaimanapun, apabila kategori umur dan tahap pendedahan tontonan televisyen dikawal, tabiat menonton tidak lagi mempunyai hubungan dengan tanggapan realiti kandungan program. Dapatan kajian turut menunjukkan beberapa perkaitan signifikan di antara motif tontonan televisyen dan program televisyen digemari terutamanya bagi program hiburan, drama dan sukan. Implikasi kajian ini dibincangkan dalam kerangka perspektif kajian penggunaan dan pemuasan kehendak yang dapat menjelaskan motif tontonan dan pemilihan program televisyen bersesuaian dengan pembentukan pemikiran belia masa kini.

Kata Kunci: Motif Tontonan Televisyen, Penggunaan dan Pemuasan Kehendak, Belia

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL 

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.